
FOTO: Nik Aziz
SHAH ALAM – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kesal dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang menegurnya supaya jangan menggunakan hukum agama untuk tarik pengundi.
Menurutnya, Harussani tidak harus berkata demikian kerana seluruh amalan hidup manusia tertakluk kepada hukum.
“Semuanya berkenaan hukum, sama ada wajib, sunat, harus, makruh atau haram, kerana jika masuk tandas pun ada hukum, adakah memilih pemimpin tidak ada hukumnya?
“Nabi meninggalkan kota Makkah untuk berjuang menegakkan negara di Madinah, ertinya perjuangan tegakkan negara adalah sebahagian daripada perjuangan baginda,” katanya dipetik dari laman Facebooknya (http://www.facebook.com/photo.php?pid=6952315&id=358919387591), semalam.
Semalam, Harussani menasihatkan pemimpin Pas terutama Nik Aziz supaya tidak menggunakan hukum agama untuk meraih undi kerana dibimbangi boleh menyebabkan masyarakat Islam terkeliru.
Menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Nik Aziz dilaporkan mengeluarkan fatwa ‘undi Pas masuk syurga’ ketika berkempen.
