SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menyiapkan laporan mengenai isu kontroversi serbuan jabatan itu semasa Majlis Makan Malam Muhibah di Gereja Methodist Damansara Utama, selewat-lewatnya September ini bagi menyelesaikan isu tersebut.
Abdul Khalid berkata, beliau difahamkan Jais kini mengalami kesulitan untuk mendapatkan keterangan daripada 12 orang Islam yang dikatakan menghadiri majlis itu kerana terdapat beberapa alasan perundangan yang telah diketengahkan oleh peguam-peguam yang mewakili mereka.
“Malah pejabat Menteri Besar juga telah menerima surat daripada firma guaman Tetuan Lee Hishamuddin yang mewakili 10 daripada 12 orang Islam yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan negeri kini menyerahkan isu tersebut kepada pakar undang-undang JAIS untuk memberi nasihat yang sepatutnya dalam hal ini.
