KUALA LUMPUR — Proses Pemutihan yang merupakan komponen kedua Program 6P akan dimulakan pertengahan September ini apabila semua maklumat yang diperolehi melalui pendaftaran siap diproses dan disusun.
Timbalan Ketua Setiausaha (Kanan) Pendaftaran dan Imigresen Kementerian Dalam Negeri, Datuk Alwi Ibrahim berkata, data terbabit akan diguna untuk proses pemutihan yang menyaring pendatang tanpa izin bagi dipertimbang sebagai pekerja asing sah dengan senarai majikan yang berdaftar.
"Untuk tujuan ini, pertimbangan bagi setiap permohonan pemutihan akan ditentukan oleh kementerian atau agensi kawal selia yang bertanggugjawab terhadap sektor dan subsektor yang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di, sini hari ini.
Katanya proses pemutihan melibatkan dua kategori iaitu majikan yang menggaji pendatang tanpa izin yang telah didaftarkan boleh mengemukakan permohonan agar pekerja mereka diputihkan, dan bagi pendatang tanpa izin yang tidak ada majikan akan dipertimbang untuk mengisi kekosongan mengikut keperluan majikan yang memohon pekerja asing.
Permohonan untuk proses pemutihan perlu dikemukakan dengan menggunakan khidmat syarikat pengurus yang sama ketika proses pendaftaran, katanya.
Beliau berkata, kerajaan telah menetapkan kadar bayaran maksimum bagi caj perkhidmatan yang boleh dikenakan oleh syarikat pengurus iaitu tidak lebih RM300.
Sementara itu sehingga pagi ini, seramai 2,088,358 pekerja asing sah dan pendatang tanpa izin telah didaftarkan, dengan 1,135,499 daripadanya adalah pendatang tanpa izin.
