IMBAS: WAJAH Mohd. Rafie Abdul Latiff mangsa simbah asid yang kini menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi, Hospital Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR - Seorang lelaki yang ditahan petang semalam di ibu negara berhubung kes simbah asid terhadap seorang pemuda di Wisma Bumi Raya, Jalan Raja Laut, 8 Ogos lepas, direman lima hari bermula hari ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, lelaki berusia 28 tahun itu adalah kenalan kepada mangsa.
"Lelaki yang ditahan itu mengenali mangsa dan polis yakin dengan penahanannya dapat membantu pihak polis menyelesaikan kes simbah asid yang berlaku di Jalan Raja Laut itu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, mangsa Mohd Rafie Abdul Latif, 27, telah disimbah asid oleh seorang lelaki ketika berada dalam kereta berhampiran tandas awam berdekatan Wisma Bumi Raya di sini. - Bernama
