Shaikh Syed Isa Mohamed Semait.
SINGAPURA - MANTAN Mufti Negara, Shaikh Syed Isa Mohamed Semait, telah dianugerahkan antara pengiktirafan tertinggi sempena Hari Kebangsaan ke-46 dengan Pingat Jasa Gemilang.
Beliau mendahului beberapa warga Melayu/Islam dalam penerimaan pingat Hari Kebangsaan tahun ini, yang antara lain termasuk mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP), Encik Zulkifli Baharudin, yang menerima Bintang Bakti Masyarakat (BBM); Encik Jaffar Mohd Kassim (BBM Lintang); dan Pengerusi Taman Warisan Melayu, Cik Zuraidah Abdullah (Pingat Pentadbiran Awam (Perak)).
Duta Besar Singapura ke Amerika Syarikat, Profesor Chan Heng Chee, dan ahli bank yang juga Pro-Canselor Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Encik Wee Cho Yaw, merupakan dua tokoh yang diberi anugerah tertinggi Darjah Utama Bakti Cemerlang.
Turut menerima Pingat Jasa Gemilang ialah Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik John De Payva.
Ketika dihubungi semalam, Shaikh Syed Isa berkata beliau terkejut menerima berita tersebut dan tidak menyangka diberi pengiktirafan itu.
'Segala khidmat yang saya sumbang merupakan satu kewajipan yang wajar daripada seorang pemimpin agama yang seharusnya sentiasa menjalankan tugas ini dengan keikhlasan kerana Allah,' katanya yang telah 38 tahun berkhidmat sebagai Mufti, dan kini Penasihat Pejabat Mufti.
Menurutnya, selain daripada tugas sebagai Mufti, beliau juga dilantik berkhidmat dalam bidang-bidang kemasyarakatan dan keharmonian negara.
Dalam satu kenyataan, Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) berkata Shaikh Syed Isa telah banyak memberi sumbangan penting kepada Singapura.
'Beliau mempunyai komitmen mendalam untuk membina persefahaman antara agama di Singapura,' kata Muis.
