IMBAS: Keadaan Haziq - mangsa yang cedera parah dalam kemalangan tersebut.MELAKA - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sedang dalam proses tindakan bagi membantu seorang kanak-kanak, Muhammad Haziq Aqasha Muhammad Sazali, 3, yang cedera diseret sebuah van ketika pulang ke rumahnya di Ipoh, Perak kelmarin.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, jabatan berkenaan sedang dalam proses mengenal pasti bentuk bantuan yang sesuai disalurkan untuk kanak-kanak malang terbabit.
"JKM negeri sedang mengambil tindakan dan langkah perlindungan sewajarnya ke atas kanak-kanak itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sukaneka Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian yang menimpa Muhammad Haziq Aqasha yang cedera setelah diseret hampir 100 meter oleh van yang dinaiki menyebabkan kulit kepalanya terkoyak sehingga menampakkan tempurung kepala.
Kejadian itu berlaku pada 11.30 pagi 21 Julai lalu, apabila tali beg galas kanak-kanak tersebut tersangkut pada pintu van ketika menutup pintu kenderaan berkenaan.
