
KUALA LUMPUR - Mereka bahagia pada awal perkahwinan, namun segala-galanya bertukar menjadi ‘neraka’ buat seorang wanita apabila suaminya bukan saja melanggan pelacur berdekatan sempadan Thailand di utara tanah air, malah menjalin hubungan serius dengan perempuan jalang itu.
Selepas hanyut dalam belaian pelacur, suami Norsiah Ramli, 33, berubah perwatakan menjadi kejam dan bacul.
Dia yang bertugas di utara bukan saja tergamak mendera Norsiah setiap kali pulang ke ibu kota, malah membiarkan wanita itu terkontang-kanting bersama dua anak yang masih kecil dengan hutang keliling pinggang, sedangkan dia leka berfoya-foya.
Hutang sewa rumah saja mencecah RM5,300 selepas lebih satu tahun tertunggak hingga premis milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mereka diami itu bila-bila masa saja akan ditarik balik.
Itu tidak termasuk tunggakan bil elektrik dan air, ada kala dia dan anak di rumah terpaksa bergelap dan terputus bekalan air kerana bil tidak berbayar sehingga tiga bulan.
Mengimbas kisah hidupnya, Norsiah berkata, dia mendirikan rumah tangga dengan suaminya pada Ogos 2008. Sebagaimana pasangan lain yang baru melayari alam rumah tangga, semuanya bermula manis baginya dan suami.
Pun begitu, ia tidak lama. Suaminya yang juga anggota keselamatan dalam sebuah agensi kerajaan mula menunjukkan belang sebenar.
Daripada penyayang, suami Norsiah menjadi tidak berhati perut dengannya. Beberapa lama selepas melahirkan anak pertama, suaminya kerap memukul dan menderanya tanpa belas kasihan.
“Semuanya berubah selepas suami mula ‘menggatal’ dengan perempuan lain. Bila belangnya terbongkar, dia tidak dapat menerima hakikat dan saya dijadikan mangsa,” katanya.
Mei lalu, Norsiah bercerai dan tinggalkan suaminya. Ia juga bukan perceraian pertama bersama lelaki itu, sebelum ini mereka pernah bercerai namun rujuk semula.
Bagaimanapun, status perceraian itu masih tergantung kerana ia tidak laporkan secara sah kepada pihak berkuasa, sebaliknya hanya secara lisan.
