FOTO: Gambar sekumpulan anggota pasukan keselamatan yang terbabit menyembelih enggang tersebar di internet.SHAH ALAM - Seorang pegawai dan empat anggota tentera lain-lain pangkat yang menyembelih burung enggang di Taman Negeri Royal Belum di Gerik, Perak dikenakan tindakan gantung tugas mengikut Akta Angkatan Tentera 1972.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kesemua yang terlibat itu akan dihadapkan ke mahkamah untuk didakwa di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972.
“Berdasarkan siasatan, ada pemburu lain yang menembak enggang itu sehingga jatuh. Apabila melihat keadaan burung itu yang lemah (hampir mati), anggota tentera terbabit menyembelihnya,” katanya selepas menghadiri Hari Keluarga Kelab Anak Rantau Bagan Datoh, di sini semalam.
Ahmad Zahid berkata, walaupun anggota tentera terbabit bukan pihak bertanggungjawab menembak burung enggang itu, mereka sepatutnya menyelamatkannya dan bukan bertindak menyembelih.
Berikutan itu, menurutnya, kementerian terpaksa mengambil tindakan disiplin ke atas semua anggota tentera berkenaan.
Akhbar sebelum ini menyiarkan berita bergambar menunjukkan beberapa anggota tentera memegang burung enggang yang disembelih dan gambar itu tersebar di beberapa laman web.
Perbuatan itu mendapat bantahan orang ramai termasuk Persatuan Pencinta Alam.
