GOL!: Qiu Li (belakang) menumpang kegembiraan Aleksandar Duric yang menjaringkan gol kelima Singapura.SINGAPURA - BERBEKALKAN kelebihan dua gol untuk pertarungan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, Singapura belum berada pada kedudukan selamat.
Kemenangan 5-3 ke atas Malaysia selepas mendahului selesa 4-1 dalam babak permainan separuh masa pertama di Stadium Jalan Besar, bakal mengundang masalah andainya Singa melakukan kesilapan mudah.
Pengalaman jelas bukan menjadi kunci untuk mengatasi kegigihan Harimau yang pasti lebih berazam membenam Singa di Stadium Bukit Jalil pada Khamis ini.
Pintu gawang Singa ditembusi seawal 24 saat dan berpunca daripada kegagalan Daniel Bennett memintas bola umpanan silang yang menuju ke Mohd Safee Sali dan penyerang Malaysia itu membuktikan betapa bahayanya apabila rembatan keduanya dengan mudah menewaskan Izwan Mahbud dengan mudah.
Gol awal itu seakan mengejutkan Singa yang mula bergerak lebih kemas tetapi usaha Aleksandar Duric di minit ketiga tidak menjadi apabila percubaannya menuju ke penjaga gawang, Mohd Sharbinee Allawee Ramli.
Namun hasrat Duric untuk mencatat namanya sebagai penjaring tertua dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 ini menjadi kenyataan apabila beliau memanfaatkan umpanan daripada tendangan bebas Shi Jiyai pada minit ketujuh.
Gol penyamaan 1-1 itu sekali gus berjaya meningkatkan keyakinan Singa dan ia turut dirasakan apabila Izwan bertindak berani menyelamatkan bola dari kaki Ismail Faruqi dengan pemain Harimau itu sudah bersedia untuk membuat rembatan maut.
Singa terlepas dua peluang apabila percubaan kapten pasukan, Shahril Ishak, terkena tiang gol pada minit ke-33 dan percubaan Qui Li pula diselamatkan oleh Sharbinee seminit berikutnya.
Begitupun penjaga gawang Harimau itu hanya mampu menyaksikan rembatan cantik Mustafic Fahrudin menembusi pintu gawangnya pada minit ke-34 untuk menjadikan kedudukan 3-1.
Benteng pertahanan Malaysia terus dibenam dan kini giliran Jiayi pula mencatat namanya untuk menjadikan kedudukan 4-1 di saat-saat akhir permainan separuh masa pertama.
Pertarungan sengit turut menyaksikan dua kad merah di layangkan oleh pengadil dari Bahrain, Nawaf Shukralla.
Kad pertama kepada kapten pasukan Harimau, Safiq Rahim, yang menerkam garang Hariss di minit ke-50.
Bagaimanapun, pertarungan menjadi seimbang 10 lawan 10 apabila Ismail Yunos dilayang kad kuning kedua empat minit berikutnya.
Hasrat Singapura melebarkan jurang gol di minit ke-61 menerusi tandukan Duric tidak menjadi kenyataan kerana beliau berada pada kedudukan 'offside'.
Singa sekali lagi melakukan kesilapan dengan membenarkan pemain gantian, Abdul Hadi Yahaya dan Mohd Safee, merapatkan jurang daripada 4-2 di minit ke-69 dan 4-3 dua minit berikutnya.
Duric masih mampu menyekat untuk melebarkan jurang 5-3 pada minit ke-81 dan melegakan 6,000 penonton.
Singapura: Izwan Mahbud, Ismail Yunos, Safuan Baharudin, Jumaat Jantan (Saiful), Daniel Bennett, Shi Jiayi, Qiu Li (Fazrul Nawas), Hariss Harun, Mustafic Fahrudin, Shahril Ishak (Shahdan Sulaiman), Aleksandar Duric.
Malaysia: Mohd Sharbinee Allawee Ramli, Mahalli Jasuli, Asraruddin Omar, Mohd Muslim Ahmad, Fadhli Mohd Shas, Safiq Rahim, Ismail Faruqi Ashari (Amirulhadi Zainal), Mohd Safee Sali (Izzaq Faris), Amar Rohidan, Ahmad Fakri Saarani (Abdul Hadi Yahaya), S. Kunalan.
