
KUANTAN - Adik Nur Hafiqah Zarissya Mohd Nawawi berusia setahun sembilan bulan yang dilaporkan hilang lewat petang semalam, ditemui semula dalam keadaan selamat hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusof berkata, kanak-kanak itu diserahkan oleh sepasang suami isteri kepada kakak ipar mangsa di tempat kanak-kanak itu dilaporkan hilang iaitu di kedai telefon bimbit milik ibu kanak-kanak itu di Jalan Kuantan-Gambang di sini.
"Pasangan berkenaan yang berada di Temerloh telah melihat laporan berita di televisyen pada 1.30 petang tadi berhubung kehilangan kanak-kanak ini dan menelefon pihak keluarga sejurus kemudian untuk mengembalikannya semula,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata, kanak-kanak terbabit berada dalam keadaan baik ketika diserahkan oleh pasangan berusia 30-an berkenaan.
Bagaimanapun, katanya, polis akan membawa kanak-kanak itu ke hospital bagi pemeriksaan. - Bernama
