
SINGAPURA: KEUNIKAN dan kemerduan suaranya membawakan lagu-lagu balada seperti Kekasih Awal dan Akhir, Azura dan Penghujung Rindu telah membuat ramai peminat merindui kehadirannya di sini.
Namun, kesempatan bertemu tidak pernah wujud selama ini.
Kini kerinduan itu akan diubati apabila penyanyi yang dimaksudkan, Jamal Abdillah, akhirnya akan ke Singapura untuk menjayakan konsert pertamanya di sini.
Konsert Akustikasih Jamal Abdillah akan berlangsung di Stadium Tertutup Singapura pada 24 September.
Ia dianjurkan Jamiyah Singapura bagi mengumpul dana sebanyak setengah juta dolar untuk membiayai program kebajikan dan pendidikan badan itu.
Pengarah projek konsert itu, Encik Mohd Hosni Abdul Malik, berkata Jamiyah gembira kerana berjaya mendapatkan persetujuan Jamal mengadakan konsert di Singapura kerana konsert penyanyi itu memang amat dinanti-nantikan peminatnya di sini.
'Kami berharap dengan tarikan yang ada pada Jamal Abdillah kami berjaya mengumpulkan dana untuk menampung empat rumah tumpangan dan lapan pusat pendidikan yang dikendalikan Jamiyah,' ujar beliau.
Jamal, 51 tahun, yang hadir dalam satu sidang akhbar di Restoran Lagun Sari semalam, berkata walaupun beliau banyak menghabiskan masa merakamkan album- albumnya di Singapura sekitar 1980-an dulu, beliau tidak pernah mengadakan konsert solo berskala besar.
'Pengalaman saya menyanyi di Singapura terhad di televisyen dan persembahan kecil saja semasa pelancaran album lebih 20 tahun lalu,' kata Jamal, yang kelihatan cukup sihat dan ceria wajahnya ketika bertemu wartawan.
Mengenai spekulasi beberapa penganjur konsert yang mendakwa menghadapi masalah membawanya ke Singapura termasuk kerana isu imigrasi lantaran rekod kesalahan dadah, Jamal menjelaskan:
'Memang saya pernah terima tawaran empat atau lima kali untuk mengadakan persembahan di Singapura. Sebagai artis yang mencari makan dengan menyanyi, saya menetapkan beberapa syarat dan yurannya. Malangnya, syarat- syarat itu tidak dapat dipenuhi.
'Imigrasi tidak pernah menjadi masalah. Kalau tidak, saya tidak akan berada di sini.'
Naib Presiden 2 Jamiyah, Dr Hasbi Abu Bakar, mengesahkan pihaknya telah merujuk kepada pihak-pihak relevan mengenai status Jamal dan telah diberitahu bahawa 'tiada isu untuk membawa Jamal ke Singapura'.
Encik Hosni menambah beberapa acara promosi akan diadakan sebelum konsert itu, termasuk majlis iftar bersama Jamal pada Ramadan nanti.
Tiket-tiket berharga $150, $130, $90 dan $50 bagi konsert kitu akan dijual menerusi ejen-ejen Sistic mulai 24 Jun.
