
BANDAR SERI BEGAWAN: Empat Pegawai Kastam dan dua Pegawai Pemeriksa di Jabatan Kastam dan Eksais Diraja telah dihadapkan ke Mahkamah Perantaraan di sini atas pertuduhan tambahan di bawah Bab 6(a) Akta Pencegahan Rasuah (penggal 131).
Empat Pegawai Kastam yang dihadapkan ke mahkamah itu ialah Haslinda Haji Sabtu, Johari Haji Mohammad, Nur Emma Shahrul Mazlan dan Saiful Hadlin Nordin.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Biro Mencegah Rasuah (BMR) di sini hari ini, Haslinda dihadapkan dengan empat pertuduhan di bawah Bab 6 (a) Akta Pencegahan Rasuah dan empat pertuduhan di bawah Bab 165 Hukum Kanun Jenayah (Penggal 22).
Johari pula dihadapkan dengan dua pertuduhan, manakala Nur Emma dan Saiful Hadlin masing-masing dihadapkan dengan satu pertuduhan di bawah Bab-Bab yang sama.
Kenyataan itu berkata, dua Pegawai Pemeriksa yang dihadapkan ke mahkamah ialah Mohd Syazmi Haji Hambali dan Dayangku Dayana Pengiran Haji Rosli. Mereka masing dihadapkan dengan dua pertuduhan di bawah Bab 6(a) Akta Pencegahan Rasuah (Penggal 131) dan Bab 165 Kanun Hukuman Jenayah (Penggal 22).
Timbalan Pendakwa Raya Hajah Anifa Rafiza Haji Abdul Ghani dan Pengiran Nina Jasmine Pengiran Laila Kanun Diraja Pengiran Haji Bahrin memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Perantaraan, Madam Lim Siew Yen bahawa hasil siasatan Biro Mencegah Rasuah mendapati kesemua tertuduh dengan secara tidak jujur memperoleh wang suapan daripada orang awam.
Wang suapan yang diterima oleh kesemua tertuduh merupakan sebagai dorongan atau ganjaran bagi tidak mengambil tindakan terhadap orang awam tersebut kerana melakukan kesalahan yang berkaitan dengan penyeludupan bahan bakar iaitu satu kesalahan di bawah Peraturan Kastam 2006.
Semasa dihadapkan ke Mahkamah, kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah. Hakim Madam Lim Siew Yen kemudiannya menetapkan tarikh 9 April ini sebagi tarikh sebutan lanjut.
