
ALOR SETAR: Seorang suri rumah yang mengaku bersalah mencederakan madu dan anak tirinya pada Januari lepas, dikenakan hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Mahkamah Sesyen Alor Setar Mohd Sabri Ismail memerintahkan Nor Azmah Shaari, 28, menjalani hukuman itu dari tarikh dia ditangkap 8 Jan lepas, sehari selepas kejadian di sebuah rumah di Kampung Baru Baru, tepi Sekolah Alor Biak, Jitra.
Nor Azmah dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Siti Aminah Hanapi, 50, menggunakan sebilah parang.
Dia juga mengaku bersalah menyebabkan kecederaan terhadap anak Siti Aminah, Nurul Syuhada Saad, 16, menggunakan sebilah parang.
Rozita Mohamad dari Jabatan Bantuan Guaman Kedah, yang mewakili Nor Azmah, merayu mahkamah mengenakan hukuman yang ringan dengan alasan tertuduh membuat pengakuan bersalah selain tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mempunyai seorang anak kecil berusia 11 bulan.
Menurut Rozita tertuduh mengalami tekanan perasaan dan gangguan kerana masalah rumah tangga.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Rizal Fadzil pula meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan membabitkan penggunaan senjata adalah serius. - Bernama
