Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.KOTA BHARU-Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menunggu keputusan dari mesyuarat pemilihan kawasan sebelum menetapkan pendirian untuk bertanding jawatan tertinggi parti Jun ini.
Menurutnya, keputusan sama ada bertanding atau tidak bergantung kepada jumlah pencalonan yang diterima sebelum membuat penilaian mendalam terhadap sokongan yang diberikan.
“Bergantung kepada pencalonan, kalau terima pencalonan itu, saya akan pertimbangkan sebelum membuat keputusan, namun saya difahamkan setakat ini tidak ada lagi,”katanya kepada warwatan.
Pada pemilihan 2009, Mohd Amar yang juga Exco Kerajaan Kelantan bertanding Naib sebagai Presiden namun tewas kepada Salahuddin Ayub, Tuan Ibrahim Tuan Man dan Mahfuz Omar.
Sebelum seorang dari Exco, Datuk Husam Musa menolak untuk bertanding jawatan tertinggi parti sebaliknya mempertahankan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat (AJK) yang disandangnya kini.
Dalam perkembangan lain, Yang dipertua Pas Kawasan Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, tindakan Pas Bukit Bintang mencalonkan tokoh lain bagi jawatan Presiden Pas bukan sahaja tidak mencerminkan hasrat Pas di peringkat akar umbi malah memberi keuntungan kepada pihak ketiga dalam muktamar parti itu nanti.
Menurutnya, ahli Pas yang mengikuti perkembangan sudah tentu dapat 'membaca' situasi tersebut dan jelas tindakan itu dibuat bukan untuk 'menjaga' kedua-dua tokoh iaitu Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Husam Musa.
“Pencalonan itu juga memberi ruang kepada pihak lawan melontarkan pelbagai pandangan yang seakan-akan menampakkan krisis dalaman Pas sedangkan ianya tidak berlaku,”katanya yang menasihati ahli Pas agar tidak terikut-ikut dengan suasana yang dicetuskan Pas Bukit Bintang.
